ASSALAMUALAIKUM
Salahuddin
dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurd biasa. Pendidikannya juga
seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan
dan mempertahankan diri. Tiada siapapun yang menjangka sebelum ia
menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurd ini suatu
hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah
Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya
demikian hebat sehingga menjadi contoh dan perangsang memerangi
kekufuran sehingga ke hari ini.
Stanley
Lane Poole seorang penulis Barat menyifatkan Salahuddin sebagai anak
seorang governor yang memilliki kelebihan daripada orang lain tetapi
tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda ia akan menjadi orang hebat pada
masa depan. Akan tetapi ia menunjukkan akhlak yang mulia.
Walau
bagaimana pun Allah telah mentakdirkannya untuk menjadi pemimpin besar
pada zamannya dan Allah telah menyediakan dan memudahkan jalan-jalannya
untuk bakal pemimpin agung itu. Ketika ia menjadi tentera Al-Malik
Nuruddin, sultan Aleppo, ia diperintahkan untuk mara ke Mesir. Pada masa
itu Mesir diperintah oleh sebuah kerajaan Syi'ah yang tidak bernaung di
bawah khalifah. Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah
menulis bahawa Salahuddin sangat berat dan memaksa diri untuk pergi ke
Mesir bagaikan orang yang hendak di bawa ke tempat pembunuhan
(Bahauddin, 1234). Tetapi itulah sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan
firman Allah, "Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik
bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk
bagimu" (Al-Baqarah:216)
Pertukaran Hidup Salahuddin
Apabila
Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah
telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang
tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh.
Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahawa Salahuddin
sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah Mesir, dunia dan kesenagannya
telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur
kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala
kesenangannya (Bahauddin,1234).
Bahkan
Stanley Lane Poole (1914) telah menuliskan bahwa Salahuddin mengubah
cara hidupnya kepada yang lebih keras. Ia bertambah wara' dan menjalani
hidup yang lebih berdisiplin dan sederhana. Ia mengenepikan corak hidup
senang dan memilih corak hidup "Spartan" yang menjadi contoh kepada
tenteranya. Ia menumpukan seluruh tenaganya untuk satu tujuan iaitu
untuk membina kekuasaan Islam yang cukup kuat untuk menghalau orang
kafir dari tanah air Islam. Salahuddin pernah berkata, "Ketika Allah
menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin
untukku. Ini menyebabkan ia menjuarai perjuangan Islam. Sehubungan
dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.
Semangat Jihadnya
Fikiran
Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin
telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk
berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk
perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa meluahkan seluruh
tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid
dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap
kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian.
Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada
duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang
menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya.
Siapa
sahaja yang memerhatikannya akan dapat melihat apabila ia telah
memulakan jihat melawan tentera salib ia akan menumoukan seluruh
perhatiannya kepada persiapan perang dan menaikkan semangat tenteranya.
Dalam medan peperangan ia bagaikan seorang ibu yang garang kehilangan
anak tunggal akibat dibunuh oleh tangan jahat. Ia akan bergerak dari
satu hujung medan peperangan ke hujung yang lain untuk mengingatkan
tenteranya supaya benar-benar berjihad di jalan Allah semata-mata. Ia
juga akan pergi ke seluruh pelosok tanah air dengan mata yang berlinang
mengajak manusia supaya bangkit membela Islam.
Ketika
ia mengepung Acre ia hanya minum, itupun selepas dipaksa oleh doktor
peribadinya tanpa makan. Doktor itu berkata bahawa Salahuddin hanya
makan beberapa suap makanan semenjak hari Jumaat hingga Isnin kerena ia
tidak mahu perhatiannya kepada peperangan terganggu. (Bahauddin, 1234)
Peperangan Hittin
Satu
siri peperangan yang sengit telah berlaku antara tentera Salahuddin
dengan tentera Salib di kawasan Tiberias di kaki bukit Hittin. Akhirnya
pada 24 Rabiul-Akhir, 583 H, tentera Salib telah kalah teruk. Dalam
peperangan ini Raja Kristian yang memerintah Palestin telah dapat di
tawan beserta adiknya Reginald dari Chatillon. Pembesar-pembasar lain
yang dapat ditawan ialah Joscelin dari Courtenay, Humphrey dari Toron
dan beberapa orang ternama yang lain. Ramai juga tentera-tentera Salib
berpangkat tinggi telah tertawan. Stanley Lane-Poole menceritakan bawaha
dapat dilihat seorang tentera Islam telah membawa 30 orang tentera
Kristian yang ditawannya sendiri diikat dengan tali khemah. Mayat-mayat
tentera Kristian bertimbun-timbun seperti batu di atas batu di antara
salib-salib yang patah, potongan tangan dan kaki dan kepala-kepala
manusia berguling seperti buah tembikai. Dianggarkan 30,000 tentera
Kristian telah mati dalam peperangan ini. Setahun selepas peperangan,
timbunan tulang dapat dilihat memutih dari jauh.
Kecintaan Salahuddin kepada Islam
Peperangan
Hittin telah menyerlahkan kecintaan Salahuddin kepada Islam. Stanley
Lane-Poole menulis bahawa Salahuddin berkhemah di medan peperangan
semasa peperanggan Hittin. Pada satu ketika setelah khemahnya didirikan
diperintahkannya tawanan perang dibawa ke hadapannya. Maka dibawalah
Raja Palestin dan Reginald dari Chatillon masuk ke khemahnya.
Dipersilakan sang Raja duduk di dekatnya. Kemudian ia bangun pergi ke
hadapan Reginald lalu berkata, "Dua kali aku telah bersumpah untuk
membunuhnya. Pertama ketika ia bersumpah akan melanggar dua kota suci
dan kedua ketika ia menyerang jamaah haji. Ketahuilah aku akan menuntut
bela Muhammat atasnya". Lalu ia menghunuskan pedangnya dan memenggal
kepala Reginald. Mayatnya kemudian dibawa keluar oleh pengawal dari
khemah.
Raja
Palestin apabila melihat adiknya dipancung, ia mengeletar kerana
menyangka gilirannya akan tiba. Tetapi Salahuddin menjamin tidak akan
mengapa-apakannya sambil berkata, "Bukanlah kelaziman seorang raja
membunuh raja yang lain, tetapi orang itu telah melanggar segala
batas-batas, jadi terjadilah apa yang telah terjadi".
Tindakan
Salahuddin adalah disebabkan kebiadaban Reginald kepada Islam dan Nabi
Muhammad. Bahauddin bin Shaddad, penasihat kepercayaan Salahuddin
mencatatkan bila jamaah haji dari Palestin diserang dicederakan tanpa
belas kasihan oleh Reginald, di antara tawanannya merayu supaya mereka
dikasihani. Tetapi Reginald dengan angkuhnya mengatakan, "Mintalah
kepada nabi kamu , Muhammad, untuk menyelematkan kamu". Apabila ia
mendapat berita ini ia telah berjanji akan membunuh Reginald dengan
tangannya sendiri apabila ia dapat menangkapnya.
Menawan Baitul Maqdis
Kemenangan
peperangan Hittin telah membuka jalan mudah kepada Salahuddin untuk
menawan Baitul Maqdis. Bahauddin telah mencatatkan bahawa Salahuddin
sangat-sangat berhajat untuk menawan Baitul Maqdis hinggakan bukitpun
akan mengecut dari bebanan yang dibawa di dalam hatinya.
Pada
hari Jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra' Mi'raj, Salahuddin
telah memasuki bandar suci tempat Rasulullah s.a.w naik ke langit. Dalam
catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemenangan atas kemenangan.
Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan
orang-orang biasa datang meraikan gembira kemenangan ini. Kemudiannya
ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari
Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin.
Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan "Allahhu
Akbar" dan "Tiada tuhan melainkan Allah" telah memenuhi langit. Selepas
90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul
Muqaddis. Salib yang terpampang di 'Dome of Rock' telah diturunkan.
Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah
sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu.
Salahuddin yang Penyayang
Sifat
penyayang dan belas kasihan Salahuddin semasa peperangan ini sangat
jauh berbeza daripada kekejaman musuh Kristiannya. Ahli sejarah Kristian
pun mengakui hal ini. Lane-Poole mengesahkan bahwa kebaikan hati
Salahuddin telah mencegahnya daripada membalas dendam. Ia telah
menuliskan yang Salahuddin telah menunjukkan ketiggian akhlaknya ketika
orang-orang Kristian menyerah kalah. Tenteranya sangat bertanggungjawab,
menjaga peraturan di setiap jalan, mencegah segala bentuk kekerasan
hinggakan tiada kedengaran orang-orang Kristian dipersalah-lakukan.
Semua jalan keluar-masuk ke Baitul Muqaddis di tangannya dan seorang
yang amanah telah dilantik di pintu Nabi Daud untuk menerima wang
tebusan daripada orang-orang Kristian yang ditawan.
Lane-Poole
juga telah menuliskan bahawa Salahuddin telah mengatakan kepada
pegawainya, "Adikku telah membuat infak, Padri besar pun telah benderma.
Sekarang giliranku pula". Lalu ia memerintahkan pegawainya mewartakan
di jalan-jalan Jerusalem bahawa sesiapa yang tidak mampu membayar
tebusan boleh dibebaskan. Maka berbondong-bondonglah orang keluar dari
pintu St. Lazarus dari pagi hingga ke malam. Ini merupakan sedekah
Salahuddin kepada orang miskin tanpa mengidar bilangan mereka.
Selanjutnya
Lane-Poole menuliskan bagaimana pula tindak-tanduk tentera Kristian
ketika menawan Baitul Muqaddis kali pertama pada tahun 1099. Telah
tercatat dalam sejarah bahawa ketika Godfrey dan Tancred menunggang kuda
di jalan-jalan Jerusalem jalan-jalan itu 'tersumbat' dengan
mayat-mayat, orang-orang Islam yang tidak bersenjata disiksa, dibakar
dan dipanah dari jarak dekat di atas bumbung dan menara rumah-rumah
ibadah. Darah yang membasahi bumi yang mengalir dari pembunuhan
orang-orang Islam secara beramai-ramai telah mencermarkan kesucian
gereja di mana sebelumnya kasih sayang sentiasa diajarkan. Maka sangat
bernasib baik orang-orang Kristian apabila mereka dilayan dengan baik
oleh Salahuddin.
Lane-Poole
juga menuliskan, jika hanya penaklukan Jerusalem sahaja yang diketahui
mengenai Salahuddin, maka ia sudah cukup membuktikan dialah seorang
penakluk yang paling penyantun dan baik hati di zamannya bahkan mungkin
di sepanjang zaman.
Perang Salib Ketiga
Perang
Salib pertama ialah kejatuhan Palestin kepada orang-orang Kristian pada
tahun 1099 (490H) manakal yang kedua telah dimenangi oleh Salahuddin
dalam peperangan Hittin pada tahun 583H (1187M) di mana beberapa hari
kemudian ia telah menawan Baitul Muqaddis tanpa perlawanan. Kekalahan
tentera Kristian ini telah menggegarkan seluruh dunia Kristian. Maka
bantuan dari Eropah telah dicurahkan ke bumi Palestin. Hampir semua raja
dan panglima perang dari dunia Kristian seperti Fredrick Barbossa raja
Jerman, Richard The Lion raja England, Philips Augustus raja Perancis,
Leopold dari Austria, Duke of Burgundy dan Count of Flanders telah
bersekutu menyerang Salahuddin yang hanya dibantu oleh beberapa
pembesarnya dan saudara maranya serta tentaranya untuk mempertahankan
kehormatan Islam. Berkat pertolongan Allah mereka tidak dapat dikalahkan
oleh tentera bersekutu yang besar itu.
Peperangan
ini berlanjutan selama 5 tahun hingga menyebabkan kedua belah pihak
menjadi lesu dan jemu. Akhirnya kedua belah pihak bersetuju untuk memuat
perjanjian di Ramla pada tahun 588H. Perjanjian ini mengakui Salahuddin
adalah pengusa Palestin seluruhnya kecuali bandar Acra diletakkan di
bawah pemerintahan Kristian. Maka berakhirlah peperangan Salib ketiga.
Lane-Poole
telah mencatatkan perjajian ini sebagai berakhirnya Perang Suci yang
telah berlajutan selama 5 tahun. Sebelum kemenangan besar Hittin pada
bulan Julai, 1187M, tiada satu inci pun tanah Palestin di dalam tangan
orang-orang Islam. Selepas Perjanjian Ramla pada bulan September, 1192M,
keseluruhanya menjadi milik meraka kecuali satu jalur kecil dari Tyre
ke Jaffa. Salahuddin tidak ada rasa malu apapun dengan perjanjian ini
walaupun sebahagian kecil tanah Palestin masih di tangan orang-orang
Kristian. Atas seruan Pope, seluruh dunia Kristian telah mengangkat
senjata. Raja England, Perancis, Sicily dan Austria serta Duke of
Burgundy, Count of Flanders dan beratus-ratus lagi pembesar-pembesar
telah bersekutu membantu Raja dan Putra Mahkota Palestin untuk
mengembalikan kerajaan Jerusalem kepada pemerintahan Kristian. Walau
bagaimana pun ada raja yang mati dan ada yang balik dan sebahagian
pembesar-pembesar Kristian telah terkubur di Tanah Suci itu, tetapi
Tanah Suci itu masih di dalam tangan Salahuddin.
Selanjutnya
Lane-Poole mencatatkan, seluruh kekuatan dunia Kristian yang telah
ditumpukan dalam peperangan Salib ketiga tidak mengoyangkan kekuatan
Salahuddin. Tenteranya mungkin telah jemu dengan peperangan yang
menyusahkan itu tetapi mereka tidak pernah undur apabila diseru untuk
menjualkan jiwa raga mereka di jalan Tuhan. Tenteranya yang berada jauh
di lembah Tigirs di Iraq mengeluh dengan tugas yang tidak henti-henti,
tetapi ketaatan meraka yang tidak pernah berbelah bagi. Bahkan dalam
peperangan Arsuf, tenteranya dari Mosil (sebuah tempat di Iraq) telah
menunjukkan ketangkasan yang hebat. Dalam peperangan ini, Salahuddin
memang boleh memberikan kepercayaan kepada tentra-tenteranya dari Mesir,
Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan bahkan orang-orang
Islam dari mana-mana sahaja. Walaupun mereka berlainan bangsa dan kaum
tetapi Salahuddin telah dapat menyatukan mereka di atas jalan Tuhan
daripada mula peperangan pada tahun 1187 hinggalah berakhirnya pada
tahun 1192.
Lane-Poole
juga menuliskan dalam peperangan ini Salahuddin sentiasa syura. Ia
mempunyai majlis syura yang membuat keputusan-keputusan ketenteraan.
Kadang-kadang majlis ini membatalkan keputusan Salahuddin sendiri. Dalam
majlis ini tiada siapa yang mempunyai suara lebih berat tiada siapa
yang lebih mempengaruhi fikiran Salahuddin. Semuanya sama sahaja. Dalam
majlis itu ada adiknya, anak-anaknya, anak saudaranya, sahabat-sahabat
lamanya, pembesar-pembesar tentera, kadi, bendahari dan setiausaha.
Semuanya mempunyai sumbangan yang sama banyak dalam membuat keputusan.
Pendeknya semuanya menyumbang dalam kepakaran masing-masing. Walau apa
pun perbincangan dan perdebatan dalam majlis itu, mereka memberikan
ketaatan mereka kepada Salahuddin.
Salahuddin Meninggal Dunia
Pada
hari Rabu, 27 Safar, 589H, pulanglah Salahuddin ke rahmatullah selepas
berhempas pulas mengembalikan tanah air Islam pada usia 57 tahun.
Bahauddin bin Shaddad, penasihat utama Salahuddin telah menulis mengenai
hari-hari terakhir Salahuddin. Pada malam 27 Safar, 12 hari selepas ia
jatuh sakit, ia telah menjadi sangat lemah. Syeikh Abu Ja'afar seorang
yang wara' telah diminta menemani Salahuddin di Istana supaya jika ia
nazak, bacaan Qur'an dan syahadah boleh diperdengarkan kepadanya. Memang
pada malam itu telah nampak tanda-tanda berakhirnya hayat Salahuddin.
Syeikh Abu Jaafar telah duduk di tepi katilnya semenjak 3 hari yang
lepas membacakan Qur'an. Dalam masa ini Salahuddin selalu pingsan dan
sedar sebentar. Apabila Syeikh Au Jaafar membacakan ayat, "Dialah Allah,
tiada tuhan melainkan Dia, Yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata"
(Al-Hasyr: 22), Salahuddin membuka matanya sambil senyum, mukanya
berseri dan denga nada yang gembira ia berkata, "Memang benar". Selepas
ia mengucapkan kata-kata itu rohnya pun kembali ke rahmatullah. Masa ini
ialah sebelum subuh, 27 Safar.
Seterusnya
Bahauddin menceritakan Salahuddin tidak meninggalkan harta kecuali satu
dinar dan 47 dirham ketika ia wafat. Tiada rumah-rumah, barang-barang,
tanah, kebun dan harta-harta lain yang ditinggalkannya. Bahkan harta
yang ditinggalkannya tidak cukup untuk kos pengkebumiannya. Keluarganya
terpaksa meminjam wang untuk menanggung kos pengkebumian ini. Bahkan
kain kafan pun diberikan oleh seorang menterinya.
No comments:
Post a Comment